May 01, 2025 - FASMuhammad Raimi Shamsul, kapten skuad bawah 23 tahun Selangor FC, antara individu yang memainkan peranan penting dalam membantu skuad Gergasi Merah meraih tempat kedua dalam saingan Piala MFL 2024/25.
Berusia 23 tahun, anak kelahiran negeri Melaka ini memulakan perjalanan beliau seawal usia 11 tahun, bersama Kelab Bola Sepak Klebang, Melaka. Pada awal penglibatan beliau bersama kelab tersebut hanyalah sebagai hobi, namun, lama kelamaan, menjadi komitmen yang beliau inginkan. Disebabkan itu, beliau berjaya menyenaraikan namanya bersama barisan pemain Melaka KPM pada tahun 2013, sekali gus berjaya menjulang kejuaraan pertama beliau bersama pasukan tersebut.
Dalam masa yang sama, beliau merupakan graduan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM). Semasa usianya 12 tahun, beliau berjaya mendapat panggilan untuk menyertai sesi pemilihan daripada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang pertama kali diperkenalkan pada ketika itu. Usaha keras dan bakat Raimi membantu beliau untuk tersenarai dalam 50 pemain terpilih, menjadikan beliau antara graduan kumpulan pertama, yang merasa perkembangan NFDP hingga tertubuhnya Akademi Mokhtar Dahari, “Semasa saya di Tingkatan 1, NFDP bahagikan pemain kepada tiga kumpulan. Pada awalnya, kami diletakkan di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), kemudian Kumpulan A dipindahkan ke Sekolah Sukan Bukit Jalil. Pertengahan tahun di Tingkatan 3 barulah kami disatukan semula di Akademi Mokhtar Dahari sehingga tamat pengajian.”
Menjadi graduan Akademi Mokhtar Dahari, selain aktif beraksi dalam kejohanan-kejohanan di Malaysia seperti Piala Belia dan Piala SuperMokh, mereka juga diberi pendedahan luas beraksi di luar negara sejak berusia 13 tahun lagi. Raimi sempat kongsikan beberapa kejohanan semasa temubual, “Semasa di Tingkatan 2, masa tu antara rakan sepasukan saya adalah Luqman Hakim, Harith Haiqal, Zikri Khalili, Sikh Izhan dan lain-lain. Kami merasa beraksi di Eropah untuk 10 perlawanan, kami berjaya meraih tujuh kemenangan, dua seri dan satu kalah. Alhamdulillah, rezeki saya dapat beraksi dalam semua perlawanan. Selain itu, kami juga berkesempatan untuk beraksi di Jerman, Sepanyol, Paris dan negara-negara Eropah yang lain,”
“Ada satu pengalaman yang saya tidak dapat lupakan sehingga kini, adalah semasa beraksi di Korea Republik, ada satu perlawanan yang saya tidak beraksi dengan baik, saya automatik diturunkan ke Kumpulan B. Memang agak sukar untuk saya terima ketika itu tetapi saya terima dengan hati yang terbuka. Saya hanya menganggap ini satu pengajaran untuk diri sendiri.” tambah beliau.
Dengan pengalaman beraksi dalam Malaysia, di luar negara bersama pasukan NFDP dan AMD serta Kelayakkan Piala Asia bawah 17 dan 19 tahun, Raimi telah menerima kontrak profesional Selangor FC pada hujung tahun 2019. Selepas berbincang dengan keluarga, dan atas nasihat dorongan mereka, Raimi menerima tawaran tersebut, “Sebaik sahaja terima tawaran tersebut, saya tidak fikir lama terus memilih untuk bersama Selangor. Pihak Pengurusan tetapkan tarikh dan masa untuk tandatangan kontrak tersebut, saya datang dengan harapan saya dapat banggakan ibu bapa dan keluarga saya.”
Tahun pertama karier Raimi di Selangor FC adalah bersama skuad bawah 20 tahun bawah kendalian Ketua Jurulatih Saiful Nizam. Namun, selepas satu perlawanan, wabak pandemik COVID-19 melanda negara dan aktiviti bola sepak terhenti. Musim seterusnya, kejohanan Piala Presiden diteruskan, Raimi merupakan antara pemain tonggak yang berjaya membantu pasukan ke pusingan Separuh Akhir Piala Presiden 2021.
Pada tahun 2022, Raimi dinaikkan pangkat ke skuad ‘feeder’ Selangor FC, beraksi dalam saingan Liga Premier Malaysia dengan 589 minit sebelum liga tersebut dimansuhkan. Biarpun agak sukar untuk beliau mendapatkan tempat tetapi Raimi berjaya beraksi dalam 848 minit dalam tahun pertama Piala MFL 2023 dimainkan.
Dengan peningkatan yang dipamerkan dan sifat kepimpinan yang tinggi, Raimi secara rasmi dilantik sebagai Kapten skuad bawah 23 tahun bagi saingan Piala MFL 2024/25. Pelantikan beliau dipersetujui oleh rakan sepasukan serta barisan jurulatih. Beliau tidak menyangka keputusan tersebut tetapi Raimi menerima tanggungjawab tersebut dengan hati yang terbuka, “Pada awalnya agak berat juga untuk saya sebab rakan sepasukan semuanya sangat bagus tetapi bila saya fikir balik, saya kena bersedia untuk masa hadapan daripada sekarang. Ketua Jurulatih, Abdifitaah Hassan, banyak membantu saya biasakan diri bertindak sebagai seorang Kapten pasukan. Dari seorang yang pemalu dan tidak banyak bercakap, selepas menggalas tanggungjawab ini, saya belajar untuk menjadi lebih tegas dan lantang di atas padang dan masa-masa yang sepatutnya," jelas Raimi tentang perubahan positif diri beliau selepas menjadi Kapten pasukan.
Seorang yang sentiasa berikan persembahan yang konsisten, Raimi menyifatkan skuad bawah 23 tahun Selangor musim 2024/25 merupakan sebuah pasukan yang hebat, “Semua pemain bersikap terbuka dan menerima kritikan secara profesional. Setiap daripada kami tahu akan kelebihan masing-masing, dan keakraban kami antara penguat pasukan ini. Pada saya kunci sesebuah kejayaan adalah mentaliti, kalau kami (rakan sepasukan) mempunyai mental yang kuat, tiada apa yang boleh menjadi penghalang." tambahnya.
Komitmen yang tinggi dipamerkan menjadikan Raimi sebagai salah seorang pemain muda yang kerap dipanggil oleh barisan jurulatih untuk berlatih bersama skuad senior Gergasi Merah. Beliau juga pernah beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan besar bersama skuad senior Merah Kuning. Raimi tekad untuk terus berusaha sehingga mendapat peluang untuk beraksi bersama pasukan Liga Super, “Saya amat bersyukur diberi peluang untuk merasa beraksi bersama pemain-pemain senior walaupun hanya dalam latihan dan perlawanan persahabatan. Ini motivasi yang baik untuk diri saya untuk terus berusaha keras sehingga dapat beraksi di Liga Super pada suatu hari nanti." tekad Raimi.
Pihak pengurusan berharap Raimi akan terus berusaha untuk mencapai cita-citanya dan mendoakan kejayaan beliau bersama skuad bawah 23 Selangor FC dalam musim yang akan datang. Teruskan usaha, Remy!
Demi Kebanggaan!